Thursday 20 December 2012

7 PANDUAN DALAM BERSAHABAT

Rakan ketika gembira dan ketawa memang senang ditemui, tetapi berapa ramai daripada rakan kita yang sanggup menemani dan membantu di saat kita menghadapi kesusahan dan berhadapan masalah. Pasti tak ramai bukan! Sejujurnya bukan senang hendak mencari sahabat yang sejati. Allah s.w.t berfirman dalam surah az-Zukhruf, ayat 67 yang bermaksud: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib sesetengah akan menjadi musuh kepada sesetengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan soleh)..." Justeru itu, kita sendiri hendaklah menjadi sahabat yang baik kepada rakan-rakan kita, dan berharap mereka juga benar-benar jujur dan ikhlas untuk berkawan dengan kita. Berikut ada beberapa tips sebagai panduan untuk kita amalkan dalam bersahabat; 1.) Memberitahunya bahawa kita kasih dan suka padanya. Rasulullah s.a.w. bersabda: " Jika seseorang kasih kepada seseorang maka hendaklah dia memberitahu temannya." (HR Abu Daud) 2.) Apabila berpisah dengan sahabat maka hendaklah kita mendoakan sahabat kita tanpa pengetahuannya. Rasulullah s.a.w. bersabda: " Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya." (HR Muslim) 3.) Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa dengan sahabat. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun, sekalipun dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria." (HR Muslim) 4.) Segera bersalaman ketika bertemu. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud) 5.) Sentiasa menziarahi sahabat kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah kamu menziarahi sesekali, nescaya akan bertambah kasih sayang antara kamu." 6.) Memberi hadiah. Rasulullah s.a.w. bersabda: " Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang." (HR Thabrani) 7.) Membantu sahabat-sahabat dalam kesusahan. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama dua bulan." (HR Hakim) Sumber: Ukhuwah Islamiah (Dr. Abdullah Nasir Ulwan)

Monday 17 December 2012

KISAH ASHABUL KHAFI...

Kisah Ashabul kahfi disebut oleh Allah dalam Surah Al-Kahfi ( ayat 9- 26 ) iaitu kisah pengalaman sekumpulan hamba Allah yang soleh ditidurkan selama 309 tahun di dalam gua. 

Menurut Ulama tafsir, para penghuni gua itu berjumlah tujuh (7) orang . Mereka dipercayai hidup dalam zaman Maharaja Dikyanus yang menyembah berhala dan dikenali sangat bengis dan zalimnya. 


Kerana enggan tunduk kepada perintah Dikyanus yang menyembah berhala, tujuh orang pemuda itu pun lari dan bersembunyi di dalam sebuah gua untuk bermalam sementara sebelum meneruskan perjalanan ke tempat yang lebih jauh. 

Tetapi bila mereka tidur pada malam itu, mereka tidak tahu bahawa Allah telah menidurkan mereka bukan hanya satu malam tetapi 309 tahun. 

Manusia biasa yang tidur selama 309 tahun pastilah mati. Selama itu tubuh mereka pastilah hancur dan pakaian mereka reput. Tetapi Allah memelihara tubuh dan pakaian Ashabul Kahfi itu seperti asalnya. Bila mereka dibangunkan oleh Allah dari tidur itu, dan melihat perubahan besar yang berlaku di negeri mereka , barulah mereka sedar bahawa mereka telah tidur di dalam gua itu terlalu lama. 

Sebaik mereka terjaga dari tidur, terasalah perut mereka lapar. Mereka memutuskan untuk mengirim seorang daripada mereka pergi ke bandar membeli makanan. Tetapi malangnya, mata wang yang mereka berikan untuk membeli makanan itu tidak laku lagi pada masa itu dan tidak diterima oleh penjual makanan. 

Mata wang itu sudah berusia 300 tahun. Raja zalim yang mereka takuti dahulu pun telah mati dan penduduk negara itu semuanya telah beriman kepada Allah. Maka tidak perlu lagi mereka bersembunyi di dalam gua itu.

Bila kisah pengalaman yang luar biasa ini diketahui oleh orang ramai, mereka berduyun-duyunlah datang ke gua itu untuk menyaksikan sendiri kejadian yang menakjubkan itu. 


Apa yang terjadi selanjutnya pada kumpulan pemuda Ashabul Kahfi itu tidak dijelaskan oleh Allah seterusnya. Mungkin Allah mengisahkan pengalaman ganjil itu semata-mata untuk memberi amaran kepada manusia tentang kekuasaan Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya kepada sesiapa apalagi kepada hamba-hamba-Nya yang sangat dikasihi, walaupun perkara itu tidak terfikir oleh manusia boleh berlaku. 


Bagaimanapun, Allah menyebut tentang perselisihan yang terjadi diantara penduduk negara itu tentang hasrat mereka hendak mendirikan sebuah rumah ibadat sebagai kenangan dari kejadian ganjil itu disitu. 

Menurut ulama tafsir, perselisihan diantara penduduk negara itu berlaku hanya sesudah para penghuni gua itu diwafatkan oleh Allah ( sesetengah pihak percaya mereka itu masih hidup dengan kuasa Allah juga). Perselisihan mereka itu malah berlaku juga tentang jumlah penghuni-penghuni gua itu sebenarnya, dan tentang jumlah masa yang tepat mereka tidur di dalam gua itu.